Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.
Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.
Anggota kumpulan Baju Merah kemudian bergelut pula dengan beberapa anggota polis yang menyekat laluan keluar. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka ditahan.
Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu beliau akan bertindak balas.
"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).
"Saya akan cincang mereka," katanya.
Bagaimanapun melalui rakaman video, ketika kekecohan itu berlaku Jamal didengar berkata: "Polis tumbuk saya!" berkali-kali.
Jamal dikenali sebagai pimpinan utama Baju Merah yang giat menyaingi kempen BERSIH menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.
Selain memberi amaran untuk berkumpul beramai-ramai bersama BERSIH, sejak beberapa hari lalu kumpulan berkenaan mempamerkan kekuatan mereka dalam seni bela diri, termasuk ketika mengadakan protes berhampiran pejabatMalaysiakini pada 5 November lalu.
Beberapa klip video yang tersebar di media sosial pula menunjukkan beberapa individu - termasuk Jamal sendiri - menunjukkan kemampuan mereka menahan pukulan serta serangan fizikal melalui seni bela diri.
Sementara itu Zuraida ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai mengenai serangan ke atas Jamal.
"Saya mengelak daripada dia, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Saya akan bercakap dengan orang saya dan bertanya kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Pengarah Pilihan Raya PKR Ampang Nallan Dhanabalan pula mendakwa melihat kejadian itu dan sebenarnya seorang lelaki berpakaian biasa - didakwa anggota polis - menumbuk Jamal.
"Jamal menarik rantai leher seorang polis berpakaian biasa, dan ia terputus. Kemudian pegawai lain datang dan memukulnya," kata Nallan.
Kejadian itu katanya berlaku ketika kumpulan PKR bergerak meninggalkan Ampang Point dan polis berusaha memisahkan kedua-dua kumpulan berkenaan.
Sementara itu Jamal membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira jam 5.15 petang tadi.
Dalam aduannya Jamal, 46, berkata Gerakan Baju Merah bertembung dengan kumpulan penyokong BERSIH diketuai Zuraidah yang mengedarkan risalah "menghasut orang ramai membenci kerajaan" serta "berhimpun secara haram" pada Sabtu ini.
Dalam pertembungan tersebut, kata Jamal dalam laporan polisnya, berlaku perang mulut dan tolak menolak.
"Tiba-tiba saya dipukul, ditumbuk oleh seseorang yang memakai baju BERSIH dari sebelah kanan tepat di muka dan hidung saya.
"Akibat pukulan itu saya mengalami kecederaan berdarah dan bengkak pada hidung," kata Jamal
0 Response to "Video Part2 Jamal Ditumbuk Oleh Anggota Polis Bila Tanpa Disedari... -Penamerah"
Post a Comment